Informasi, tips

8 Petua Halau Semut Yang ‘Berparti’ Dalam Bekas Gula Anda

petua halau semut dalam bekas gula

“Stres betul aku tengok semut-semut ni. Dia boleh pulak masuk dalam bekas gula aku yang bertutup rapat ni. Dahlah gulanya baru je aku beli. Takkan nak buang, membazirlah… Apa petua halau semut dalam bekas gula ni ya?”

Memang terkejut dan geram bila tengok bekas gula dah dimasuki semut. Hairan pun ada juga. Kadangkala, pek gula yang baru dibeli dan dibuka pun boleh dimasuki semut.

BOLEHKAH MAKAN GULA YANG DIMASUKI SEMUT?

Menurut buku 501 Persoalan Fikah Wanita oleh Zawiah Hassan, gula yang dimasuki semut masih suci. Cuma, kita perlulah membuang semut-semut itu terlebih dahulu.

Dari sudut kesihatan pula, ia bergantung kepada kuantiti dan jenis semut yang menghurung gula tersebut. Kebanyakan jenis semut tidak memudaratkan kerana ia adalah haiwan yang tidak berdarah. Malah sesetengah budaya mengamalkan tabiat memakan semut sebagai snek. (*Tapi, dalam Islam kita tak boleh makan semut kecuali tak sengaja.)

Maka, sekiranya semut tidak terlalu banyak, bolehlah diusahakan untuk memisahkannya agar gula tersebut masih boleh digunakan. Mari cuba beberapa petua halau semut dalam bekas gula yang mudah dan berkesan ini.

8 PETUA HALAU SEMUT DALAM BEKAS GULA ANDA

Berikut adalah petua halau semut yang boleh anda cuba di rumah.

1. CENGKIH / KULIT KAYU MANIS

Antara petua halau semut dalam bekas gula yang paling popular dan lazim dipraktikkan adalah dengan menggunakan cengkih. Cuma letakkan beberapa tangkai cengkih ke dalam bekas gula yang dimasuki semut tadi. Kemudian, tutupkan bekas sedikit supaya baunya lebih kuat dan menghalau semut. Tapi, jangan tutup rapat sangat kerana nanti semut tak boleh keluar pula. Kalau tak ada cengkih, boleh juga gunakan kulit kayu manis.

Kedua-dua rempah ini bukan saja menghalau semut, tetapi turut memberi aroma yang enak kepada gula anda. Tapi, jangan risau kerana ia tidak mengubah rasa gula tersebut.

Gambar di bawah ini contoh yang telah dilakukan oleh Puan Azura Abd Jalil melalui laman sosial beliau. Berkesan, bukan?

Foto Kredit: Azura Abdul Jalil

2. JEMUR TENGAH PANAS

Seterusnya, anda boleh menjemurkan gula tersebut di bawah matahari terik. Untuk memudahkan, pindahkan gula di dalam dulang atau loyang. Kemudian, jemurkan sekejap.

Kalau takut terlupa sebab letak di luar, letakkan di tepi tingkap yang dimasuki cahaya matahari.

petua halau semut

3. LETAK BEKAS GULA TEPI DAPUR GAS

Satu lagi cara yang hampir sama dengan menjemur adalah dengan meletakkan bekas gula tadi berhampiran dengan dapur gas yang dinyalakan. Lebih elok kalau gula dipindahkan ke dalam pinggan kaca atau bekas logam.

Sambil-sambil masak nanti, bekas akan menjadi panas dan semut pun akan lari. Tapi, jangan pula letak direct atas api ya, tak baik dibunuh semut-semut itu. Lagipun, kalau semut mati dalam bekas gula, bertambah susah kita nak keluarkannya nanti.

Foto kredit: foodandtools.com

4. PISAU

Petua halau semut dalam bekas gula yang seterusnya ini mungkin kedengaran pelik. Tapi, buat yang pernah mencuba tentu tahu keberkesanannya. Seperti yang dikongsikan oleh Puan LiaJane San ini.

Caranya, pacakkan pisau ke dalam bekas gula dan biarkan sekejap. Nanti, semut-semut akan keluar sendiri. Menurut beliau, petua ini didapati daripada majalah. Memang nampak kelakar dan mesti ada yang rasa was-was. Tapi, ia memang berkesan.

Foto Kredit: LiaJane San

5. ASAM KEPING / GELUGUR

Masukkan beberapa keping asam gelugur ke dalam bekas gula. Jangan risau kerana bau asam gelugur pun tidak akan menukar rasa atau warna gula.

Foto Kredit: alibaba.com

6. CILI KERING

Selalunya kita dengar petua ini untuk halau kutu beras, bukan? Tak sangka ia boleh digunakan untuk menghalau semut juga.

Ambil beberapa tangkai cili kering dan letak dalam bekas gula. Kalau nak potong kasar pun boleh. Tutupkan dengan longgar supaya semut boleh keluar. Jangan risau, tak ada rasa pedas yang tertinggal pada gulanya.

Foto Kredit: Aishah Hasan

7. TEKNIK RENDAM DALAM AIR

Ini satu lagi teknik orang lama yang mungkin jarang kita dengar. Ia adalah perkongsian daripada Puan Zura Yusoff. Menurut beliau, cara ini memang amat mudah tapi cukup efektif.

Cuma masukkan bekas gula tadi dalam bekas yang berisi air. Guna air paip saja. Kemudian, tunggu sebentar dan biarkan penutup terbuka untuk semut-semut keluar.

petua halau semut

8. SEJUKKAN DALAM PETI AIS

Akhir sekali, dan cara yang paling senang anda boleh buat adalah meletakkan bekas gula di dalam peti sejuk. Letakkan bekas gula di bahagian sejuk beku atau freezer dan biarkan bekas terbuka sedikit.

Tinggalkan semalaman atau beberapa jam. Semut akan hilang. Kalau semut asyik hurung bekas gula anda, simpankan terus di dalam peti sejuk. Mudah-mudahan selesai masalah.

petua halau semut dalam bekas gula

SELAMAT MENCUBA!

Walaupun kebanyakannya petua orang lama, tapi tetap efektif. Kalau tak cuba, tak tahu.

Apapun, lakukan seawal mungkin sebaik saja anda perasan bekas gula anda dimasuki semut. Jangan tunggu semutnya terlalu banyak baru nak halau kerana dikhuatiri memudaratkan kesihatan pula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *