agama, Informasi

cara cuci telefon yang terkena najis yang ramai tidak tahu !!!

Pernah berlaku??? Bagi yang ada anak kecil, biasa kan perkara ni kan… Memang menangis tak berlagu… Tapi zaman sekarang, telefon dicipta dengan kalis air… Maknanya, masih boleh digunakan tapi status telefon tersebut… dah bercampur najis… Macam mana nak basuh jika dah kena najis??

Bila berkait dengan hukum, sebaiknya kita rujuk kepada yang pakar… Jadi, ikuti penjelasan dari Mufti Wilayah, berkaitan cara cuci handphone yang terkena najis.

Soalan:

Salam Dr. Bagaimanakah cara bersihkan handphone yang terkena najis sedangkan peralatan sebegitu tak boleh kena air. Apakah memadai sekadar dengan renjisan air dan mengelapnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pendapat Ulama Tentang Menyucikan Besi yang Berkilat
Isu menyucikan telefon bimbit yang terjatuh ke dalam najis yang cair adalah isu baharu yang memerlukan perhatian. Kami melihat kes yang paling dekat yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh adalah penyucian bahan-bahan berkilat seperti pedang dan cermin dengan menyapunya. Kami nyatakan pendapat para ulama tentang hal itu.

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut: “Jika najis terkena pada sesuatu yang berkilat seperti pedang, pisau dan cermin dan seumpamanya, tidak boleh disucikan dengan sapuan dan tiada yang boleh menyucikannya melainkan dengan basuhan jua seperti bahan-bahan lain. Inilah juga adalah pendapat Ahmad dan Daud manakala Malik dan Abu Hanifah berkata ia disucikan dengan sapuan.”

Rujuk al-Majmu` (2/599)

Imam al-Zailaie Rahimahullah daripada ulama Hanafiyyah menghuraikan: “Hukum pedang yang diperbuat daripada besi yang berkilat sama hukumnya seperti cermin dan pisau. Jika menjadi mutanajjis, ia disucikan dengan sapuan. Ini seperti mana kisah yang sahih bahawa para sahabat Rasulullah SAW, mereka membunuh orang kafir (harbi dalam peperangan) dengan pedang-pedang mereka, kemudian menyapunya dan bersolat dengannya. Ini kerana membasuh (dengan air) akan pedang dan cermin (besi) dan bahan yang seumpamanya akan merosakkannya (seperti karat dan lain-lain). Maka dalam kes ini ada darurat.”

Rujuk Tabyin al-Haqa’iq (1/72)

Hukum Telefon Yang Terkena Najis
Justeru, pendapat kedua menuntut agar dibasuh bahagian yang terkena najis dan tidak merosakkan telefon dan disapu dengan kain atau seumpamanya yang boleh menghilangkan ain najis tetapi tidak boleh dibasuh kerana akan merosakkan atau ditakuti akan merosakkannya, dengan kain sehingga kering dan boleh dibawa solat.

Manakala bagi pendapat pertama, telefon berkenaan masih boleh digunakan tetapi tidak boleh dibawa solat. Maka diletakkan telefon tersebut di tempat lain, atau berdekatan dengan tempat solat tanpa terkena pada badan ketika solat.

Kesimpulan

Kami cenderung kepada pendapat yang pertama bertepatan dengan mazhab al-Syafie. Pun begitu, ada beberapa pilihan dan kaedah yang masih boleh dipertimbangkan.

Pertama, jika telefon jatuh ke tempat najis, contohnya ke lubang jamban, kemudian segera dicuci dengan air pada bahagian luar. Ini kerana telefon bimbit berbeza kadar ketelapan dan kalir airnya. Ada telefon yang senang dimasuki air dan ada yang sukar bahkan kalis air. Jika ada baki air yang keluar daripada soket atau telefon itu yang tidak memiliki sifat najis seperti bau, warna dan rasa, maka dianggap suci. Jika baki tersebut bersifat dengan najis, maka dihukum najis. Ini kerana yang diyakini terkena najis itu adalah bahagian luar sedangkan bahagian dalamnya bergantung pada binaan telefon tersebut.

Kaedah ini berdasarkan hukum harus tetapi makruh menggunakan perkakas orang yang bukan Islam yang diketahui tidak menjaga soal taharah atau kebiasaan mereka bermuamalah dengan najis seperti orang Majusi yang membasuh perkakas mereka dengan air kencing lembu. Ini kerana hukum asal bahawa bekas itu suci mendahului hukum kebiasaan yang berbentuk anggapan semata-mata.

Rujuk al-Iqna’ (hal. 49) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini Rahimahullah.

Samalah juga hukum mendukung bayi ketika solat. Sah solat jika tidak zahir ciri-ciri najis pada pakaian bayi itu ketika didukung. Ini kerana sekalipun hukum kebiasaan bayi itu adalah tidak mampu menjaga diri daripada najis lantaran belum mumayyiz, tetapi hukumnya kembali kepada hukum asal berdasarkan apa yang zahir di sisi orang yang solat.

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Maka setiap pakaian yang tidak diketahui siapa yang menenunnya adakah Muslim, musyrik, penyembah berhala, majusi, ahli kitab, atau pakaian berkenaan dipakai oleh salah seorang daripada mereka, atau bayi, maka hukumnya adalah suci sehingga diketahui kenajisannya. Begitu juga pakaian bayi itu, kerana Rasulullah SAW pernah solat sambil mendukung Umamah binti Abi al-As sedangkan dia adalah bayi perempuan yang memakai pakaian bayi (yang kebiasaannya bernajis seperti lampin)”

Rujuk al-Umm (1/72)

Imam al-Syirazi Rahimahullah menyebut: “Maka jika seseorang yang bersolat itu menanggung benda hidup yang suci ketika solat maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah bin Abi al-As ketika solat. Ini kerana najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang solat itu.”

Imam al-Nawawi mensyarahkan: “Jika seseorang itu menanggung benda hidup yang suci tiada najis pada zahirnya ketika solat maka sah solatnya tanpa khilaf.”

Rujuk al-Majmu` (3/150)

Begitu juga kaedah yang Rasulullah SAW anjurkan setelah beristinja’ disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh diihtimal (diambilkira) bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Daripada al-Hakam bin Sufyan (atau Sufyan bin al-Hakam):

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW kencing lalu merenjiskan air pada kemaluannya.”

Riwayat Ahmad (23470), Abu Daud (167), Hakim (609), al-Nasaie (135) dan lain-lain.

Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secebuk air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was seperti yang disebut oleh al-Ruyani dan selainnya. Datang hadis yang sahih pada ciri-ciri sunat fitrah yakni perbuatan merenjis ini.”

Rujuk al-Majmu` (2/112)

Bahkan dalam hadis lain, Rasulullah SAW meminta wanita yang berhaid untuk meletakkan pewangi berdekatan dengan alat sulit wanita untuk menghilangkan bau najis darah. Daripada Aisyah R.Anha, sabda baginda:

خُذِي فِرْصَةً مِنْ مَسْكٍ، فَتَطَهَّرِي بِهَا

Maksudnya: “Ambil sedikit kasturi dan bersucilah dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (314) dan Muslim (332)

Keduanya, jika diyakini air mutanajjis sudah masuk ke dalam telefon bimbit, boleh juga dikeringkan terlebih dahulu (dijemur, menggunakan pengering rambut, dll) sehingga hilang warna, bau dan rasa, setelah dimatikan telefon. Kemudian, dengan berhati-hati, disembur air mutlak pada tempat-tempat yang ditimpa najis untuk menyucikannya. Sebaiknya berbincang dengan juruteknik yang membaik pulih untuk membantu.

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang mendalam dalam agama.

Wallahua’lam.

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my

Jadi, jika telefon kena najis basuh sekadar yang boleh hingga hilang bau, warna dan rasa… Hukum ini bukan terpakai pada telefon sahaja, tapi juga komponen eletrik yang tak boleh terkena air… Contohnya, keyboard laptop dan sebagainya… Jadi, boleh aplikasikan teknik diatas.

Sumber : Berita Kopak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *