tips

Tips ibu bapa boleh kendali anak yang suka menipu berdasarkan umur

anak suka menipu

Apabila anak suka menipu…

Anak membesar menjadi seorang yang berperangai buruk adalah mimpi ngeri buat semua ibu bapa? Siapa yang mahu anak mereka menjadi seorang yang sering bercakap bohong? Sebab itulah jika anda mendapati anak suka menipu, anda harus mengendalinya dengan bijak.

Kanak-kanak memang terdorong untuk menipu. Ia bermula dengan tipu secara terang hingga pandai memanipulasikan ayat.

Memang ketika kecil perbuatan anak suka menipu kelihatan comel dan tidak bersalah. Namun jika dibiarkan, ia mungkin boleh menjadi kebiasaan!

anak suka menipu
Mereka mungkin tidak mengaku atau menipu kerana takut dimalukan

Menurut seorang perunding keibubapaan, Judy Reith dari Parenting People, kanak-kanak menipu untuk menyelesaikan masalah. Sebagai ibu bapa, adalah tugas anda untuk menafsir apa yang mereka cuba selesaikan dengan perbuatan menipu itu.

Sebab paling utama anak suka menipu ialah untuk mengelak dari dimalukan, dimarah atau mahu dipuji.

Kunci utama di sini: anda sendiri tidak harus menipu di hadapan anak-anak dan anda harus tahu bagaimana cara mengendali anak suka menipu mengikut usia (tahap kematangan berfikir mereka).

Klevermind telah berkongsi tip bagaimana hendak mengendali anak suka menipu mengikut kumpulan umur, seperti di bawah ini:

#1 Anak suka menipu ketika berusia 4 hingga 5 tahun

anak suka menipu

Mereka mungkin menokok tambah cerita kerana ingin disukai atau mendapat perhatian

Selalunya di usia 4 hingga 5 tahun, anak suka menipu untuk menidakkan sesuatu.

Anda harus menjadi lebih tenang mendengar apa yang mereka ingin katakan dan tidak memalukan mereka dengan apa yang telah disampaikan oleh mereka.

Dengan cara ini baru mereka faham mereka tidak perlu menipu untuk tidak dimarahi oleh anda. Jadi, cuba atasi anak suka menipu pada usia 4 hingga 5 tahun dengan bersikap tenang.

#2 Anak suka menipu ketika berusia 5 hingga 6 tahun

Di dalam lingkungan usia ini, anak suka menipu dan mula pandai menokok tambah cerita untuk melihat reaksi orang lain. Mereka sudah tahu reaksi yang tertentu jika ibu bapa mengambil perhatian dan seakan-akan “terkejut” dengan cerita mereka.

Anda tidak boleh mengejek, marah atau mengiakan penipuan yang telah dicakap oleh mereka itu.

Tetapi, anda harus cuba menasihatkan mereka yang dia tidak perlu menokok tambah cerita untuk mengambil hati atau menerima perhatian.

#3 Apabila kanak-kanak lebih dewasa menipu

anak suka menipu

Rasa takut juga boleh menjadi punca mereka menipu

Kanak-kanak yang lebih dewasa sudah lebih faham dengan banyak perkara. Mereka selalunya memilih untuk menipu supaya dapat melepaskan diri dari dihukum.

Ini kerana mereka takut dengan hukuman yang diberikan anda. Oleh itu, kalau anda tidak mahu anak menipu anda terang-terangan ketika usia ini, jangan bertindak terlalu keras dan tegas dengan semua perkara.

Di usia ini, anda harus mendapatkan kepercayaan mereka untuk membuatkan mereka jujur dengan anda. Jangan menghukum mereka dengan teruk untuk kesalahan kecil.

Harus diingat, setiap perilaku anak itu adalah hasil dari apa yang ditunjuk oleh ibu bapa. Sebab itulah anda tidak boleh terus menghukum mereka dan meletakkan salah di atas mereka sepenuhnya.

Dan jika anda menangkap mereka melakukan kesilapan seperti menipu, kendalikan dengan tenang dan positif. Anda mahu mereka menghormati anda bukan takut dengan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *